Friday, May 25, 2007

Satu : Sesal

Kebosanan dengan tempat baru. Tuntutan tugas memaksa aku berpindah ke ibu kota. Kembali ke tempat permulaan aku mencambah ilmu. Tempat kenangan zaman manis remaja. Dan akan terus bersemadi di dalam ingatan.
Tempat baru menjanjikan permulaan baru dan permasalahan baru. Di bandar paling sibuk di Malaysia ini aku mengenali Zaida. Rakan setugas yang berpengalaman di tempat ini. Sudah 10 tahun dia berkhidmat di sini. Aku yang serba kekok sebagai orang baru sangat beruntung dengan sikap Zaida yang ramah dan mudah memberikan bantuan mahupun tunjuk ajar.
Dari situ aku dan Zaida mula rapat. Bermula dengan keluar minum dan makan tengahari, kami mula makan malam bersama dan kerap ke pusat bowling menghabiskan masa. Aku gembira dengan setiap detik masa bersamanya.
Walaupun agak rapat dengan Zaida tetapi aku tidak banyak mengetahui tentang dirinya. Dia seperti satu mesteri. Seolah ada sesuatu yang tidak ingin dikongsikannya bersama aku sisi lain hidupnya. Aku juga dapat merasakan ada sesuatu di dalam hidupnya yang setiap hari tampak gembira itu.

Wednesday, May 23, 2007

Prolog : Kesunyian

Dalam pesona menjalani rutin harian, tidak hilang rasa sunyi. Jauh di dalam diri begitu hambar dan sepi. Di satu sudut yang seperti satu kekosongan. Tidak ada yang benar-benar bermakna mengisi ruang itu. Entah berapa lama sudah begitu keadaannya.

Dalam hilai tawa sahabat-sahabat, aku tetap merasakan diri kesunyian. Telah lama begitu. Sudah bertahun-tahun. Masih tiada noktah. Kadang kala ada persoalan yang muncul, beginikah diri yang telah mati? Namun aku tidak berani mengesahkannya.

Kadang kala kerana terlalu asyik memerhati hidup, terasa semuanya kosong. Yang jelas hanya ruang-ruang hipokrit begitu padat dengan kepura-puraannya. Jelas begitu menyakitkan. Kesakitan dicengkam kebencian dan kehinaan. Ramai yang berprinsip tanpa malu malah dengan bongkak terus meletakkan di ruang itu segala hipokrit yang dikatakan itulah kebenarannya. Banyak persoalan yang perlu dibongkar mahupun dilontar untuk merungkai keadaan itu. Yang kerap kedengaran berdendang di cuping telinga adalah kenapa keadaan itu berterusan tanpa penghujungnya?